Oleh : ~ChOt~
Program : Larian Pantai Sepat
Tarikh : 27 Mac 2010
Tempat : Pantai Sepat, Kuantan
KUANTAN – Sekali lagi pelatih Kor Suksis UMP diuji dengan aktiviti Larian Pantai yang diadakan di Pantai Sepat yang mana sebelum ini Larian Pantai juga julung-julung kali diadakan di Pantai Balok pada 7 Februari yang lalu. Larian Pantai ini adalah ilham daripada pengurusan Kor Suksis UMP sendiri untuk menaik dan mengekalkan stamina, kecergasan semua pelatih mahupun kepada jurulatih. Larian Pantai Sepat pada kali ini merangkumi jarak sejauh 8km bagi pelatih lelaki manakala 5km bagi pelatih wanita.
Sejurus tiba di pantai Sepat, para pelatih diarahkan untuk menjalani senaman ringan yang diketuai oleh KS 52004 saudara Eramamnazruasyadi. Larian yang bermula sekitar jam 8.30 pagi itu disinari dengan cahaya matahari yang indah dan permai yang mana diserikan pula dengan pemandangan laut yang mempersonakan. Pelatih lelaki dilepaskan dahulu manakala pelatih wanita pula dilepaskan 5 minit kemudian. Dengan kehadiran seramai 91 orang pelatih menyebabkan suasana pantai Sepat menghijau dengan pakaian sukan mereka. Kesemua pelatih meluahkan rasa gembira mereka kerana dapat berlari di kawasan pantai yang cantik walaupun berasa penat yang amat sangat.
Setelah tamat larian sekitar jam 10.30 pagi, para pelatih mendengar amanat daripada ASP/KS Mohd Nazri Bin Samsudin (Pegawai Latihan Luar) yang menekankan berkenaan dengan kehadiran para pelatih di dalam Kor Suksis. Beliau juga memberi semangat dan juga nasihat kepada para pelatih untuk menjadi yang terbaik antara yang terbaik dalam apa jua yang mereka ceburi.
Diharap dengan adanya Larian Pantai ini dapat meningkatkan lagi ketahanan mental para pelatih untuk menjalani latihan demi latihan yang diuruskan oleh pengurusan Kor Suksis. Semoga Larian pantai selepas ini akan berkembang ke satu Semenanjung Malaysia seiring dengan motto Kor Suksis UMP iaitu SUKSIS BOLEH!..