Malam Puisi Riong 2011 "Apakah Dosaku"

Malam Puisi Riong 
APAKAH DOSAKU

Tarikh: 
10 Januari 2011

Tempat: 
Universiti Malaysia Pahang Kampus Gambang



Anggota Kor SUKSIS UMP telah diberi peluang untuk menghadiri Malam Puisi Riong anjuran UMP dan Berita Harian dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) dan Majlis Perwakilan Pelajar UMP di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang. Apakah Dosaku adalah bertujuan memberi kesedaran dan keinsafan kepada masyarakat terutamanya remaja mengenai gejala sosial dan pembuangan bayi.



Anggota Suksis, Mohd Adam bersama Profesor Madya Lim Swee Tin yang fasih berbahasa Melayu.


Antara tokoh sastera, akademik dan artis popular tanah air yang menjayakan program ini adalah juara Imam Muda, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, Datuk Mior Kamarul Shahid, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Profesor Madya Lim Swee Tin, Marsli No, Fynn Jama, peserta Akademi Nasyid 2008, Mohd Shukri Nasron (Cicik), Penyanyi jazz, Taheera Rosheena Mohamad, Anual Bakhri Haron a.k.a Anbakri, Wan Nur Ilyani Abu Bakar menyampaikan lagu puisi bertema pembuangan dan pembunuhan bayi dan juga Ramli Sarip. 


Anggota merakamkan kenangan bersama Fynn Jamal.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim turut mendklamasikan puisi bertajuk 'Wahai Anakku' sebagai acara pembuka tirai Malam Puisi Riong. Segmen VVIP diteruskan dengan deklamasi puisi oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suhaimi Ibrahim berjudul `Ketika Gadis Itu Dilahirkan Dia Pun Dilahirkan' nukilan Aminah Mokhtar.

Taheera yang tidak kurang hebatnya dengan puisi 'Rindu Ibu'.

Kemunculan Taheera dengan puisi 'Rindu Ibu' dan diiringi petikan gitar telah mendapat sambutan dari hardirin. Persembahan Fynn Jamal yang bersahaja dan bertenaga juga dapat mencuri perhatian pengunjung dengan puisi spontan oleh beliau yang berjudul 'Dunia Kini'. Papa Rock, Ramli Sarip adalah antara artis yang mendapat sorakan paling gemuruh. Ramli Sarip telah menyayikan tiga buah lagu, Bukan Kerana Nama, Doa Buat Kekasih dan Kamelia.

Pengacara Malam Puisi Riong, Fedtri Yahya.
 
Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menghadiri majlis bacaan puisi sempena kempen Kami Prihatin: Apakah Dosaku.

Sesungguhnya kempen seperti ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran dan keinsafan kepada masyarakat terutamanya remaja mengenai masalah pembuangan bayi yang sering berlaku masa kini. Seharusnya kempen seperti ini dapat dilakukan dengan lebih kerap supaya lebih ramai masyarakat didedahkan dengan masalah keruntuhan moral dikalangan remaja hari ini.