Larian Pantai Sepat

Oleh : ~ChOt~

Program : Larian Pantai Sepat

Tarikh : 27 Mac 2010

Tempat : Pantai Sepat, Kuantan

KUANTAN – Sekali lagi pelatih Kor Suksis UMP diuji dengan aktiviti Larian Pantai yang diadakan di Pantai Sepat yang mana sebelum ini Larian Pantai juga julung-julung kali diadakan di Pantai Balok pada 7 Februari yang lalu. Larian Pantai ini adalah ilham daripada pengurusan Kor Suksis UMP sendiri untuk menaik dan mengekalkan stamina, kecergasan semua pelatih mahupun kepada jurulatih. Larian Pantai Sepat pada kali ini merangkumi jarak sejauh 8km bagi pelatih lelaki manakala 5km bagi pelatih wanita.

Sejurus tiba di pantai Sepat, para pelatih diarahkan untuk menjalani senaman ringan yang diketuai oleh KS 52004 saudara Eramamnazruasyadi. Larian yang bermula sekitar jam 8.30 pagi itu disinari dengan cahaya matahari yang indah dan permai yang mana diserikan pula dengan pemandangan laut yang mempersonakan. Pelatih lelaki dilepaskan dahulu manakala pelatih wanita pula dilepaskan 5 minit kemudian. Dengan kehadiran seramai 91 orang pelatih menyebabkan suasana pantai Sepat menghijau dengan pakaian sukan mereka. Kesemua pelatih meluahkan rasa gembira mereka kerana dapat berlari di kawasan pantai yang cantik walaupun berasa penat yang amat sangat.

Setelah tamat larian sekitar jam 10.30 pagi, para pelatih mendengar amanat daripada ASP/KS Mohd Nazri Bin Samsudin (Pegawai Latihan Luar) yang menekankan berkenaan dengan kehadiran para pelatih di dalam Kor Suksis. Beliau juga memberi semangat dan juga nasihat kepada para pelatih untuk menjadi yang terbaik antara yang terbaik dalam apa jua yang mereka ceburi.

Diharap dengan adanya Larian Pantai ini dapat meningkatkan lagi ketahanan mental para pelatih untuk menjalani latihan demi latihan yang diuruskan oleh pengurusan Kor Suksis. Semoga Larian pantai selepas ini akan berkembang ke satu Semenanjung Malaysia seiring dengan motto Kor Suksis UMP iaitu SUKSIS BOLEH!..

















Latihan Menembak M16 & revolver .38

Tarikh: 28 Mac 2010
Acara: Latihan Menembak M16 & Revolver .38
102 org Pelatih Tahap 1-3



Tahap 1 menguasai medan revolver .38 ... pengalaman pertama kali tidak akan mereka lupakan.. syabas semua!!

Pelatih wanita Tahap 1 sedang mencuba nasib.. saudari Fadilah Sapawi dengan 134

Manakala, saudara Afnil Haikal dengan markah 125.. memang patut dibanggakan oleh jurulatih Mat Nor (Tiger)


Tahap 2 & 3 sedang menyusun peluru dan barrel.. kerjasama itu penting!!

Tenaga amat diperlukan.. sesi sarapan pagi (nasi lemak, agar-agar, teh limau ais) tuk semua.. *muka lapar*

Padang sasar M16.. selamat bertemu kembali antara Tahap 2 & 3 dan medan "perang" kami.. dengan keputusan saudara Khir dan saudari Khadijah menguasai medan.

Detail 2 sedang menunggu giliran untuk mendapat tempat di medan perang

Skuad super-senior mengambil tempat masing-masing. syabas juga untuk mereka!

Tahap 2 & 3 beralih untuk revolver .38 ... dilihat pelatih sedang membantu menampal target

revolver .38 bukanlah pengukur kejayaan seseorang ahli tembak.. tetapi ketepatan mata dan mentality penting

antara petugas yang terlibat.. dilihat Tuan Hatta dan anak buahnya

Sesi "menghancurkan" peluru yang sudah digunakan untuk keselamatan


latihan tembak tamat pada jam 3 ptg.. diakhiri dengan angkat sumpah diketuai oleh SM Abu Hassan. Semua pelatih dan jurulatih berpuas hati dengan disiplin dan keputusan menembak semalam. Turut hadir di medan sasar adalah Tuan Komandan Prof Jalil Borham dan Encik Ikram dari JHEPA.

BERITA HARIAN : PDRM mahu ambil inspektor berijazah

PDRM mahu ambil inspektor berijazah


2010/03/27

Langkah tingkat profesionalisme pasukan polis

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan saja membabitkan penambahan anggota baru malah dicadangkan anggota berpangkat inspektor diambil daripada mereka yang mempunyai ijazah tidak lama lagi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, berkata jika cadangan itu diluluskan kerajaan, PDRM akan menghentikan pengambilan pegawai bagi jawatan Asisten Superintendan dan Asisten Komisioner (ACP). “Jika pegawai yang berpangkat Asisten Komisioner (ACP) ke atas harus memiliki ijazah, pegawai berpangkat inspektor ke atas juga tidak lama lagi perlu memiliki ijazah dan ini sejajar dengan teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan modal insan.

“Kita perlu sentiasa melatih pegawai dan anggota yang sedia ada supaya apabila mereka pencen nanti, mereka akan pencen pada jawatan lebih tinggi daripada jawatan asal mereka,” katanya.

Beliau berkata, ini adalah salah satu cara pemodenan pasukan polis di samping meningkatkan profesionalisme PDRM dan memantapkan lagi pasukan supaya ia seiring dengan peredaran zaman sejajar dengan usia 203 tahun PDRM.

“Jika kita lihat di negara luar sudah ada anggota berpangkat konstabel yang berkelulusan ijazah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PDRM perlu peka terhadap kemajuan semasa, sekali gus turut menyebabkan perubahan aliran jenayah di negara ini yang kini tidak lagi hanya tertumpu jenayah tradisional seperti rompakan, pembunuhan, dadah dan kegiatan ekstremis.

Katanya, sejajar dengan kemajuan dikecapi, tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan ketenteraman rakyat juga menjadi semakin mencabar.

“Isu ekonomi, kesihatan dan alam sekitar perlu juga diambil kira dalam usaha memerangi jenayah kerana kepincangannya berpotensi menyumbang kepada masalah keselamatan di negara kita yang harus disedari setiap pegawai dan anggota polis kita.

“Justeru, kepekaan PDRM terhadap perubahan corak jenayah itu amat penting, selain mengenal pasti jalan penyelesaian yang sesuai dan diterima rakyat,” katanya pada Malam Mes PDRM sempena Hari Polis Ke-203 di sini malam tadi.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan pegawai kanan PDRM.