Semua Pelatih Pulapol Dikuarantinkan

KUALA LUMPUR: Semua pelatih Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) tidak dibenarkan keluar dari kawasan berkenaan manakala pelawat pula tidak dibenarkan melawat mereka.
Urusan latihan di Pulapol juga dihentikan buat sementara waktu dan pembukaan semula adalah bergantung pada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tindakan itu diambil susulan kematian seorang pelatih polis, Mohd Azizan Azirid, 25, yang meninggal dunia akibat diserang bakteria leptospirosis (kencing tikus) dan virus adeno, Isnin lalu.
Komandan Pulapol, Senior Asistan Komisioner Zulkifli, berkata, pasukan seramai 40 pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk lapan doktor dan 32 kakitangannya berada di Pulapol semalam untuk memantau keadaan.

“Kehadiran mereka bertujuan memeriksa dan mengambil tindakan kawalan seperti tindakan mengenal pasti dan mengasingkan pelatih yang berkemungkinan dijangkiti.

“Setakat ini, seramai 42 pelatih sudah diasingkan untuk pemerhatian dan rawatan lanjut,” katanya.

Zulkifli berkata, sehingga semalam, seramai 31 pelatih termasuk empat pelatih inspektor dan 27 pelatih pelatih konstabel dirawat di wad biasa Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Pelatih-pelatih yang lain diminta mempertingkatkan kebersihan kawasan berek masing-masing sementara urusan latihan di Pulapol dihentikan buat sementara waktu dan pembukaan semula adalah bergantung kepada nasihat KKM.

Bagi memudahkan perhubungan dengan bilik gerakan khas Pulapol bagi menangani situasi ini, ahli keluarga boleh menghubungi talian 03-26882062 atau 03-26882009.