BERITA HARIAN : PDRM mahu ambil inspektor berijazah

PDRM mahu ambil inspektor berijazah


2010/03/27

Langkah tingkat profesionalisme pasukan polis

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan saja membabitkan penambahan anggota baru malah dicadangkan anggota berpangkat inspektor diambil daripada mereka yang mempunyai ijazah tidak lama lagi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, berkata jika cadangan itu diluluskan kerajaan, PDRM akan menghentikan pengambilan pegawai bagi jawatan Asisten Superintendan dan Asisten Komisioner (ACP). “Jika pegawai yang berpangkat Asisten Komisioner (ACP) ke atas harus memiliki ijazah, pegawai berpangkat inspektor ke atas juga tidak lama lagi perlu memiliki ijazah dan ini sejajar dengan teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan modal insan.

“Kita perlu sentiasa melatih pegawai dan anggota yang sedia ada supaya apabila mereka pencen nanti, mereka akan pencen pada jawatan lebih tinggi daripada jawatan asal mereka,” katanya.

Beliau berkata, ini adalah salah satu cara pemodenan pasukan polis di samping meningkatkan profesionalisme PDRM dan memantapkan lagi pasukan supaya ia seiring dengan peredaran zaman sejajar dengan usia 203 tahun PDRM.

“Jika kita lihat di negara luar sudah ada anggota berpangkat konstabel yang berkelulusan ijazah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PDRM perlu peka terhadap kemajuan semasa, sekali gus turut menyebabkan perubahan aliran jenayah di negara ini yang kini tidak lagi hanya tertumpu jenayah tradisional seperti rompakan, pembunuhan, dadah dan kegiatan ekstremis.

Katanya, sejajar dengan kemajuan dikecapi, tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan ketenteraman rakyat juga menjadi semakin mencabar.

“Isu ekonomi, kesihatan dan alam sekitar perlu juga diambil kira dalam usaha memerangi jenayah kerana kepincangannya berpotensi menyumbang kepada masalah keselamatan di negara kita yang harus disedari setiap pegawai dan anggota polis kita.

“Justeru, kepekaan PDRM terhadap perubahan corak jenayah itu amat penting, selain mengenal pasti jalan penyelesaian yang sesuai dan diterima rakyat,” katanya pada Malam Mes PDRM sempena Hari Polis Ke-203 di sini malam tadi.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan pegawai kanan PDRM.

No comments: