Kor SUKSIS UMP Cipta Nama di Ekspedisi Rakit Antarabangsa

Artikel dari: CREATE bil. 2 April-Jun 2009

Kor Sukarelawan Siswa/Siswi Polis (SUKSIS) Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menyertai cabaran Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2009 anjuran Kerajaan Negeri Pahang pada 23 hingga 29 Mei 2009 yang bermula dari Temerloh hingga Pekan, Pahang.



Kor SUKSIS UMP telah menjulang nama UMP dengan menduduki tempat kedua anugerah Mat Kilau kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan membawa pulang wang berjumlah RM 1000, cenderamata dan sijil penyertaan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang.






Ekspedisi tersebut diketuai oleh Pegawai Latihan Kor SUKSIS, C/Insp. Ismail Abdullah dan disertai dua orang jurulatih serta enam orang anggota. Latihan itensif menggunakan rakit sebenar telah dilakukan di Sungai Jin, Sungai Lembing dari 21 hingga 22 Mei 2009.



Cabaran demi cabaran dan halangan yang perlu dilalui oleh peserta. Pada hari pertama ekspedisi, peserta didedahkan dengan pengalaman untuk menyesuaikan diri dengan suasana sebenar cabaran menyusuri Sungai Pahang di mana ekspedisi dilaksanakan secara santai bermula dari Temerloh ke Kuala Triang dengan jarak perjalanan sejauh 24 kilometer dan diikuti pada hari kedua dari Kuala Triang ke Chenor sejauh 27 kilometer.



Manakala hari ketiga merupakan cabaran yang paling mencabar iaitu sejauh 56 kilometer dari Chenor ke Salong. Ekspedisi pada hari keempat pula adalah sejauh 44 kilometer dari Kampung Salong ke Kampung Ganchong. Manakala pada hari terakhir, peserta terpaksa melalui banyak cabaran dan halang beting pasir serta rumah pam pasir sejauh 27 kilometer dari Kampung Ganchong ke Esplanade Pekan.

1 comment:

aMaRz said...

huh... mmg penat.. pandai la wat ayat.. i like.. tp gmbr peserta xde lak..huhu